
Seorang pemimpin, seorang artis, seorang jurutera, seorang professional, pasti di belakang mereka terdapat seorang insan yang menyumbang kepada keperibadian mereka tersebut, iaitu “GURU”. Peranan yang dimainkan oleh mereka di sekolah adalah sangat penting dan kritikal dalam pembinaan sebuah tamadun manusia, sama seperti peranan ibu bapa di rumah.
Selamat Hari Guru, guru-guruku (16.5.09)
Alhamdulillah, hari Jumaat hari tu berkesempatan mendengar dan mencatat sedikit sebanyak mutiara ilmu dari guru-guru media dalam rancangan al-Kuliyyah TV3. Ahli panel yang ditampilkan adalah seorang kaunselor dan seorang pensyarah UIAM. Saya tertarik dengan istilah atau maksud guru yang disampaikan oleh pensyarah UIA tersebut, iaitu, guru itu merupakan murabbi, mudarris, mu’allim, muaddib.
Katanya, murabbi itu berperanan mendidik dan membimbing, mudarris sebagai penunujuk ajar di dalam kehidupan seharian, muallim mengajar dan menyampaikan ilmu dan muaddib, membentuk dan menanam nilai-nilai akhlak. Oleh itu, seorang guru hendaklah memiliki dan sedar tentang semua peranannya yang terangkum dalam satu perkataan ‘Guru/Cikgu’
Pengalaman saya menjadi seoarang guru secara formal sekejap-sekejap(cikgu tadika) banyak menyedarkan saya tentang pengorbanan seorang guru. Pada awal pengajaran saya, saya sering sakit tekak kerana banyak kali suara terpaksa digunakan untuk mengawal anak-anak murid yang nakal dan tidak dengar cakap. Saya yang pada asalnya sangat suka kepada budak-budak sempat berfikir dua tiga kali akan kesukaan saya itu. Peranan sebagai guru diuji lagi apabila ade budak-budak yang sangat malas untuk belajar, bahkan malas untuk buat segala benda, walaupun makan. Bayangkan, mereka boleh duduk di meja makan hampir 1 jam jika tidak digesa atau disuap!!!
Saya terfikir, kalau inilah cabaran mengajar anak-anak di tadika, maka apa pulak cabaran cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah rendah, menengah, universiti dan seterusnya. Adakah semakin kurang cabarannya(maklumlah, anak murid makin besar, makin boleh faham segala suruhan dan tegahan cikgu-cikgu) atau semakin mencabar? Saya kira, walau sebesar manapun cabaran yang semua peringkat cikgu itu hadapi, tapi, jasa mereka kepada kita LEBIH besar. Jika tidak, masakan kita dapat mengeja, membaca, membuat kira-kira, memahami banyak benda yang berlaku dalam kehidupan!!!
Akhir sekali, saya ingin dedikasikan ucapan selamat Hari Guru dan semoga Guru-Guru sentiasa di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah kepada guru-guru saya terutama guru terawal saya-Fauziah Ashari&Aizuddin Nuruddin(my parents), cikgu-cikgu di tadika Husna, PJ, muallim/ah di Sek Ren Islam Hira’ dan Sek Men Islam Hira’, para pensyarah di Universiti Malaya Nilam Puri dan Universiti Malaya Kuala Lumpur dan kepada semua guru-guru informal dan formal saya yang lain dan guru-guru Malaysia.
Labels: dakwah AND tarbiyyah