Hari Arafah adalah bertarikh 9 Dzulhijjah pada setiap tahun hijri. Pada 9 Dzulhijjah ini, jemaah haji akan mengerjakan salah satu rukun yang terbesar di dalam haji, iaitu wukuf di Arafah. Kepentingan wukuf di Arafah telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w لا حج إلا بعرفة"” ; yang bermaksud “Tiada haji melainkan dengan Arafah”.
Arafah merupakan satu padang yang luas, yang mana setiap orang dari jemaah haji wajib duduk seketika di padang tersebut pada 9 Dzulhijjah dan tidak dibenarkan meninggalkannya sebelum matahari terbenam.
Bagi Umat Islam yang tidak mengerjakan haji pula, mereka disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Hari tersebut termasuk di dalam hari-hari kebesaran umat Islam.
Selepas hari Arafah, iaitu pada tarikh 10 Dzulhijjah, pada hadir pula satu lagi Hari Kebesaran Islam, Hari Raya Eidul Adha. Dari namanya sendiri kita dapat faham bahawa hari ini merupakan hari raya ’KORBAN’. Mempunyai sirahnya yang tersendiri(kisah nabi Ismail dan nabi Ibrahim yang diuji Allah untuk menyembelih nabi Ismail), maka umat Islam digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada hari ini.
11, 12, dan 13 Dulhijjah pula merupakan hari Tasyrik iaitu merupakan hari-hari yang diharamkan berpuasa. Lafaz takbir raya yang dimulakan sebaik sahaja selepas maghrib 9 Dzulhijjah boleh diteruskan sehingga 13 Dzulhijjah, iaitu berakhirnya hari Tasyrik.